Masalah sampah sarap bukan saja berlaku di Bumi, malah di ruang angkasa. Mungkin
ramai yang tidak sedar bahawa orbit Bumi sebenarnya dipenuhi ratusan ribu
sampah sarap.
Sampah
angkasa atau space debris adalah objek yang ditinggalkan oleh manusia di
angkasa lepas seperti satelit yang tidak berfungsi atau rosak. Objek-objek yang
mengelilingi orbit Bumi ini amat berbahaya dan boleh menyebabkan kerosakan pada
kapal angkasa atau satelit jika berlaku pelanggaran.
Satu kajian pada tahun 1999 menganggarkan terdapat kira-kira 4 juta tan
sampah ruang di orbit rendah Bumi. Hampir 110,000 objek tersebut bersaiz objek
lebih besar daripada 1 sentimeter dan saiz itu cukup besar untuk merosakkan
satelit atau stesen angkasa.
Satu kajian oleh Jawatankuasa Penyelarasan Serpihan Angkasa Antara Agensi
(IASDCC) menerangkan bahawa orbit satelit tertentu akan menjadi berbahaya dalam
tempoh 200 tahun akan datang kerana terlalu banyak objek yang mengelilingi
orbit Bumi.
Pada masa ini, terdapat hampir 30,000 objek kira-kira empat inci saiz terapung
di seluruh Bumi. Sementara 670,000 bersaiz setengah inci dan lebih daripada 170
juta serpihan yang lebih halus (0.03 inci).
Angka pertumbuhan peningkatan jumlah sampah angkasa ini didorong
kebanyakannya oleh perlanggaran dan juga kemusnahan objek. Pada tahun 2007,
China telah meletupkan salah satu satelitnya yang sudah tidak berfungsi dengan
menggunakan sistem anti-satelit. Kemusnahan satelit itu telah mewujudkan lagi
cebisan serpihan di angkasa.
Dua tahun kemudian, satelit Kosmos 2251 milik Rusia dan satelit Iridium 33 milik Amerika
Syarikat pula telah bertembung di
angkasa lepas. Hasil pelanggaran tersebut telah memusnahkan kedua-dua satelit
tersebut dan menambah lagi sampah angkasa.
Laporan
oleh Majlis Penyelidikan Kebangsaan di Amerika Syarikat pada tahun 2011 memberi
amaran kepada Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) bahawa jumlah sampah angkasa telah mencapai
tahap kritikal dan sangat berbahaya.
Menyedari
masalah yang semakin serius ini, saintis kini sedang mencari jalan penyelesaian
untuk membersihkan ruang angkasa daripada sampah angkasa. Pada tahun 2012, Institut
Persekutuan Teknologi Switzerland (EPFL) di Lausanne telah mengumumkan hasrat
untuk mencipta dan melancarkan sebuah satelit yang dicipta untuk membersihkan
angkasa lepas daripada sampah sarap termasuk satelit yang tidak digunakan lagi.
Satelit
pembersih itu akan mencengkam objek di angkasa lepas yang mahu dimusnahkan
dengan menggunakan tentakel fleksibel dan melepaskannya ke atmosfera bumi. Objek
tersebut akan terbakar dan musnah dengan sendiri akibat geseran udara semasa
memasuki ruang atmosfera bumi.
Hasrat
tersebut bakal menjadi kenyataan setelah mendapat kerjasama dengan Swiss Space
Systems (S3) dan kini satelit pembersih tersebut sedang dalam proses pembinaan.
Ia dijangka akan dilancarkan ke angkasa lepas pada tahun 2018.
Sementara itu, sebuah syarikat yang berpengkalan di United Kingdom, Astrium
pula muncul dengan idea untuk membangunkan sebuah ‘satelit pemburu’ untuk membersihkan
sampah angkasa.
Menurut pereka alat tersebut, Dr Jaime Reed, idea itu adalah tindak balas mereka
terhadap masalah sampah angkasa yang semakin banyak yang boleh menimbulkan
ancaman jika tidak berbuat apa-apa mengenainya.
Mereka sedang membina sebuah lembing kira-kira 30 sentimeter panjang yang
mempunyai cangkuk akan dipasang pada satelit pemburu. Apabila menghampiri objek
yang ingin dihapuskan ia akan menembak lembing tersebut dan apabila melekat
pada sasaran ia akan menarik objek tersebuk ke atmosfera bumi.
Tambah Reed, ujian yang dijalankan telah mencapai kemajuan dengan sangat
baik. Hasil yang diperoleh nampaknya seperti yang diharapkan dan mereka
berharap dapat menghantar satelit pemburu itu ke angkasa tidak lama lagi.
Ketua jurutera Agensi Angkasa United Kingdom, Profesor Richard Crowther
mengatakan dengan terhasilnya teknologi-teknologi baru, peluang untuk mengatasi
isu ini akan dapat diselesaikan.
Tetapi beliau memberi amaran bahawa sebarang cadangan untuk membina dan
menghantar teknologi baru untuk menghapuskan objek di angkasa lepas memerlukan
persetujuan antarabangsa kerana teknologi ini juga boleh dilihat sebagai
senjata angkasa. Ia juga mempunyai potensi untuk menghapuskan kapal angkasa dan
satelit.
No comments:
Post a Comment