Post Top Ad

26.8.18

Gaji tidak dibayar sejak Julai, NADIA HASNAN luah perasaan di Instagram


PENYANYI dan penyampai radio Nadia Hasnan, 28, menerusi akaun Instagramnya meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pemilik agensi hiburan apabila mendakwa bayaran gaji dia dan adiknya disekat sejak Julai lalu.

Nadia ketika dihubungi memberitahu tindakannya menularkan nama pemilik agensi itu kerana tidak mahu insiden sama menimpa rakan-rakannya yang lain.


“Agensi itu adalah agensi baru yang ditubuhkan untuk membekalkan penyanyi serta pemuzik untuk persembahan di hotel dan lounge. Saya dan adik saya (Diana) mula bekerja untuk agensi itu sejak akhir Jun lalu.

“Tugasan saya adalah untuk membuat profil syarikat serta membina laman web, manakala adik pula diminta menguruskan artis dan pemuzik. Namun, sehingga kini, gaji kami belum dibayar,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, hampir setiap hari dia menghubungi pemilik agensi itu, namun dia sering berdolak dalik.

“Setiap kali dihubungi untuk bertanya mengenai gaji, dia akan berdolak-dalih dan menyuruh saya bertanya kepada bahagian kewangan dan sebagainya.

“Bila saya hubungi bahagian kewangan, perkara sama juga berlaku. Pemilik itu juga beberapa kali seperti mengelak bila dihubungi tak kiralah panggilan telefon mahupun mesej.

“Gaji kami pun bukan banyak mana. RM2,000 saja untuk setiap seorang. Takkan itu pun dia nak simpan?” katanya.

Nadia juga dinasihatkan beberapa kenalan dan ahli keluarganya untuk membuat laporan polis.

“Kenalan dan keluarga meminta saya membuat laporan polis. Saya cakap, tunggu dulu respons daripada pihak agensi itu.

“Satu benda yang saya belajar, kalau kerja apa sekali pun, biarlah ada dokumen hitam putih. Waktu baru mula bekerja, saya dan adik ada bertanya mengenai kontrak atau dokumen yang kami perlu tanda tangani.

“Namun, pemilik itu asyik bertangguh dan sehingga kini, tidak ada sebarang dokumen untuk kami. Jadi, kerana itu jugalah saya tidak boleh berbuat apa-apa,” katanya.

Nadia memberi masa sehingga Isnin ini, dan dia akan mengambil tindakan selanjutnya sekiranya masih tidak mendapat jawapan yang munasabah.

Sumber: HarianMetro
August 26, 2018 / by / 0 Comments

No comments:

Post a Comment

Post Top Ad