UNDANG-UNDANG di
setiap negara adalah berbeza-beza. Namun, apa yang menggelikan hati – terdapat
satu undang-undang pelik di Malawi, tenggara Afrika, di mana orang ramai dilarang
sama sekali daripada melepaskan kentut di tempat awam. Justeru, jika anda
tergolong di kalangan individu yang kerap kali terkentut, sama ada disengajakan
atau tidak, ada baiknya mengelak dari berkunjung ke negara tersebut.
Jangan gelak. Ini
serius. Dalam satu rang undang-undang yang dicadangkan oleh kerajaan Malawi,
mana-mana individu – membuang angin di khalayak ramai boleh disabitkan
kesalahan sebagai penjenayah. Undang-undang ini buat pertama kalinya telah
diperkenalkan pada tahun 1929.
Bagaimanapun, Menteri
Kehakiman, George Chaponda, berkata semenjak peraturan itu diperkenalkan, tiada
seorang pun penduduk Malawi ditangkap atau dihukum dengan kesalahan melepaskan
angin. Ini kerana, pihak polis tidak menguatkuasakannya di bawah undang-undang
lama.
Peraturan lama itu
menyatakan, "Seseorang yang secara sengaja merosakkan suasana di mana-mana
tempat dengan melepaskan kentut sehingga menjejaskan kesihatan orang awam,
individu itu boleh dihukum atas kelakuan buruk."
Menurut Chaponda, saat
di bawah kekuasaan kerajaan diktator, rakyat begitu takut untuk membuang angin kerana
bimbang akan menerima akibatnya. Akan tetapi, sejak negara itu mengamalkan kebebasan
politik sekitar 16 tahun dahulu, rakyat dengan seenaknya kentut sembarangan.
Atas dasar itu, peraturan
larangan kentut di tempat terbuka dipinda semula dan kini sedang dalam usaha
untuk dikuatkuasakan semula. Bagi individu yang melanggar peraturan tersebut,
mereka akan dihukum sebagai pesalah.
Dalam pada itu,
kata Chaponda, Parti Demokrasi Progresif akan menggunakan persetujuan majoriti
untuk meluluskan hukuman tersebut. Dengan alasan, ia bertujuan untuk mendidik
rakyat agar lebih berdisiplin dan bertanggungjawab.
Rakyat Malawi bagaimanapun
kurang bersetuju dengan peraturan itu yang disifatkan sebagai agak keterlaluan
dan melampau. Memang tidak dinafikan, ada masanya kentut boleh ditunda. Akan
tetapi, soal melepaskan angin ini biasanya sukar untuk ditahan-tahan, melainkan
dengan cara membebaskan sedikit demi sedikit atau sekali gus.
Soalnya siapa
tidak pernah kentut? Kentut adalah salah satu daripada fungsi badan yang paling
biasa sepanjang zaman. Semua orang melakukannya. Selagi mana kita masih hidup,
proses itu akan berulang dan tidak pernah berhenti. Bahkan sesaat setelah
seseorang itu meninggal dunia sekalipun, mayat masih boleh mengeluarkan angin.
Larangan itu urut dikritik
dari sudut kesihatan. Umum mengetahui, kentut merupakan gas yang keluar melalui
anus atau dubur akibat kehadiran sebatian gas dalam saluran pencernaan. Walaupun
kentut dianggap sebagai tindakan yang tidak sopan dan memalukan jika dilakukan
di kawasan publik, tapi perbuatan itu sebenarnya bagus untuk kesihatan.
Risiko jika
seseorang menahan kentutnya akan menyebabkan kurang selesa. Ini kerana, kentut
yang ditahan-tahan boleh mengakibatkan peningkatan jumlah dan tekanan gas pada
usus. Jika melebihi tekanan pada dinding usus, ia akan menyebabkan usus
teregang dan timbul rasa tidak selesa pada perut. Selagi gas itu tidak
dilepaskan keluar, ia akan tetap berada di dalam usus, terutama daerah usus bahagian
hujung dan tertimbun di situ.
Salah seorang
pemimpin pembangkang negara Selatan Afrika, John Tembo, turut mempersoalkan, bagaimanakah
ketelusan undang-undang itu boleh menghukum pesalah secara adil?
Apabila bercakap
soal kentut, kata Tembo, tiada siapa yang akan mengaku melakukannya. Percayalah.
Lagi-lagi jika ditanya, siapa, bila dan di mana angin itu dilepaskan. Soalnya
lagi, adakah jika kes itu berlaku di dalam bas awam yang sesak dengan
penumpang, pihak berkuasa akan mengunci penumpang sehingga menemukan pelakunya?
Tembo berkata, sudah tentu sukar untuk mengadili siapa pesalah sebenar.
Kenyataan orang
awam ini kemudiannya dibidas semula oleh Chaponda. Beliau bertegas dengan
pendiriannya dan bertanya, apakah anda ingin melihat atau suka jika orang di
sebelah anda kentut sembarangan? Jawapannya, sudah tentu tidak. Oleh itu,
pemerintah berhak untuk memastikan kesejahteraan umum dan mempunyai kuasa untuk
memperkenalkan peraturan di Malawi.
Justeru, pesan
beliau, mana-mana individu yang berasa hendak kentut, mereka haruslah
membuangnya terlebih dahulu di dalam tandas atau sebelum keluar rumah. Tegas
beliau lagi, jangan sesekali berani mencabar undang-undang dengan melepaskan
kentut di depan umum jika tidak mahu dihukum sebagai pesalah. Dahsyat betul
bunyinya bukan?
Malawi merupakan sebuah
negara dengan masyarakat yang konservatif. Bersikap, mempertahankan adat, nilai
dan tidak mudah menerima perubahan. Sebelumnya, sudah ada peraturan melarang
lelaki berambut panjang dan perempuan memakai seluar panjang. Larangan ini juga
tidak disenangi oleh rakyatnya, sama seperti mana undang-undang melarang kentut
di tempat awam.
No comments:
Post a Comment