Post Top Ad

5.4.21

PELIK! Pelangi muncul di waktu malam

PASTI anda pernah melihat pelangi di waktu siang. Pelangi biasanya muncul semasa matahari bersinar cerah pada waktu hujan gerimis atau setelah hujan berhenti. Tetapi bagaimana pula dengan pelangi pada waktu malam? Mungkin ia kedengaran pelik, tetapi fenomena unik itu wujud dan berlaku dan pelangi yang muncul pada waktu malam ini dikenali sebagai moonbow.

Menurut Dr. Don Olson dari Universiti Texas, Amerika Syarikat, moonbow adalah pelangi yang dihasilkan oleh pantulan, pembiasan dan penyebaran cahaya dari bulan yang berinteraksi dengan titisan air hujan di langit.

Sama seperti pelangi waktu siang, moonbow terjadi disebabkan oleh pembiasan cahaya. Pelangi pada waktu siang terjadi kerana pembiasan cahaya matahari, manakala pelangi yang terjadi pada waktu malam pula disebabkan oleh pembiasan cahaya bulan.

Moonbow sangat jarang terjadi kerana memerlukan keadaan dan kriteria khusus untuk menyebabkan fenomena itu berlaku. Masa terbaik untuk melihat moonbow adalah ketika bulan penuh kerana cahaya yang banyak diperlukan untuk mewujudkan fenomena ini. Bulan perlu berada pada titik rendah iaitu pada kedudukan sekitar 42 darjah di langit pada malam yang gelap setelah hujan.

 


Tambah Olson, tidak seperti pelangi berwarna-warni yang dihasilkan oleh cahaya matahari pada waktu siang, moonbow kelihatan berwarna putih dan kurang jelas pada mata kasar kita. Ini kerana cahaya bulan terlalu malap untuk merangsang reseptor kon warna di mata manusia.

Akibatnya, mata manusia sukar untuk membezakan warna dalam moonbow dan ia sering kelihatan berwarna putih sahaja. Walau bagaimanapun, warna-warna sebenar moonbow akan dapat dilihat dalam gambar yang diambil dengan menggunakan teknik ‘long exposure’.

Selain pembiasan cahaya bulan pada titisan air hujan, cahaya yang dipantulkan oleh bulan pada percikan air di air terjun juga menghasilkan moonbow. Cara terbaik untuk melihat moonbow pada air terjun adalah dengan berdiri di antara air terjun dan bulan penuh di belakang anda.

 


Lokasi-lokasi air terjun yang selalu berlaku fenomena moonbow adalah di Yosemite Falls, California dan Cumberland Falls, Kentucky di Amerika Syarikat. Selain itu, moonbow juga sering dilihat di air terjun di Victoria Falls di Afrika.

Air terjun Yosemite Falls di Taman Negara Yosemite, California adalah antara salah satu tempat popular untuk menyaksikan fenomena ini. Ramai berkunjung ke Yosemite Falls setiap tahun untuk melihat dan merakam fenomena unik itu.

Menurut pegawai Taman Negara Yosemite, Bob Roney, ramai juga yang tidak mengetahui mereka boleh melihat pelangi di waktu malam di Yosemite. Jika bulan penuh muncul dan langit cerah, akan ada cukup cahaya untuk menghasilkan pelangi di air terjun Yosemite.

 

Tambahnya, musim luruh dan musim panas adalah masa yang sesuai untuk menikmati spektrum cahaya menakjubkan ini di air terjun Yosemite. Keindahan pelangi itu akan dapat dilihat daripada malam hingga beberapa jam sebelum matahari terbit.

Sementara itu, seorang jurugambar,  Charlie Hamilton James yang pernah merakamkan moonbow di air terjun Victoria Falls, Afrika memberitahu bahawa moonbow tidak terlalu menarik apabila dilihat oleh mata kasar. Ia hanya kelihatan seperti lengkung cahaya berwarna putih yang malap.

Tetapi setelah melihat hasil gambar yang diambil dengan menggunakan teknik ‘long exposure’ iaitu dengan membiarkan pengatup kamera terbuka untuk masa yang lama dan mendedahkan rupa sebenar moonbow, ia adalah perkara yang sangat menakjubkan.

Fakta ringkas:

  • Moonbow adalah pelangi yang terhasil disebabkan oleh pembiasan dan pantulan cahaya dari bulan.
  • Moonbow juga dikenali sebagai pelangi malam, pelangi lunar, pelangi bulan dan juga pelangi putih.
  • Moonbow juga pernah dirakamkan di Waimea Canyon di Hawaii.

April 05, 2021 / by / 0 Comments

No comments:

Post a Comment

Post Top Ad