Post Top Ad

29.4.21

"Saya sedar tentang kelemahan dan kekurangan diri saya...” - Nabila Razali sedih dikritik berlatih sepanjang tahun untuk satu lagu tapi masih tak mahir

Penyanyi Nabila Razali meluahkan rasa kecewa dan sedih apabila dia mengetahui seorang gadis telah memuat naik sebuah video TikTok seolah-olah cuba menghina dirinya.


Dalam video tersebut, pelajar teater itu berkongsi 'syarahan' pensyarahnya mengenai kemampuan Nabila yang masih tidak dapat memberikan yang terbaik walaupun mempunyai masa sepanjang tahun berlatih sebuah lagu.


Individu tersebut turut membandingkan Nabila dengan biduanita negara, Allahyarham Puan Sri Saloma dan berkata Saloma hanya memerlukan masa sehari untuk persediaan sebelum membuat persembahan di atas pentas.


Menerusi Insta Story, Nabila atau nama sebenarnya, Nur Nabila Mohd Razali, 29, mendedahkan dia tidak mengetahui apa tujuan sebenar individu tersebut memuat naik video yang hanya menyebarkan kebencian.


"Saya tidak tahu apa niat dia untuk buat video itu. Selalunya saya hanya abaikan sahaja kandungan video seperti ini...tapi kali ini ada beberapa perkara yang perlu saya terangkan.


"Saya sedar tentang kelemahan dan kekurangan diri saya... dan ya, ada sesetengah orang ambil masa yang lama untuk belajar sesuatu.


"Kita semua dilahirkan berbeza. Keluarga berbeza, pergi ke sekolah berbeza dan mempunyai keupayaan berbeza. Oleh itu, kita perlu terima segala kelebihan dan kekurangan yang ada pada diri kita,” luah Nabila.


Tambah Nabila, individu tersebut sepatutnya memberikan kritikan membina, bukan menjatuhkan.


"Jangan sesekali jatuhkan orang lain hanya kerana anda rasa diri lebih hebat daripada mereka. Sebaliknya, sokonglah mereka. Bagi kritikan yang membina, bukan menjatuhkan," kata Nabila.


Walaupun apa yang dilakukan individu tersebut agak keterlaluan, Nabila mengambil keputusan untuk memaafkan gadis tersebut dan memberi peringatan kepada khayalak agar menggunakan media sosial dengan berhemah.


"Walau apa pun sekali niat dia, tidak mengapa saya maafkan sahaja dia di hari baik, bulan baik ini.

"Tujuan saya berkongsi perkara ini adalah hanya untuk timbulkan kesedaran supaya kita sama-sama gunakan media sosial dengan berhemah.


“Sebab anda mungkin tidak tahu kadang-kadang kata-kata anda itu boleh melukakan dan menghancurkan impian seseorang.


“Sentiasa ingat, tiada yang sempurna diantara kita. Yang sempurna hanyalah DIA," katanya lagi. 
April 29, 2021 / by / 0 Comments

No comments:

Post a Comment

Post Top Ad