Post Top Ad

29.4.21

Setelah 9 tahun, Stacy kini kembali dengan lagu berentak balada berjudul Peluk



Setelah sembilan tahun tidak muncul dengan single berentak balada, penyanyi Stacy kini kembali dengan genre tersebut menerusi lagu berjudul Peluk.


Kali terakhir penyanyi terkenal, Stacy muncul dengan lagu bergenre balada ialah pada tahun 2012 iaitu sembilan tahun yang lalu menerusi lagu Pelangi Senja.


Sebelum ini Stacy atau nama penuhnya Ummu Shaikhah Stacy Anam lebih banyak mengelaurkan lagu bergenre rancak sesuai dengan gelarannya sebagai Ratu Tari Malaysia.


Lagu ciptaan Bunga Cantik iaitu dirinya sendiri dan lirik oleh Hang Nadim (Akim) dan Bunga Cantik yang diterbitkan oleh Nova Music itu adalah karya yang cukup istimewa di mana dia telah memberikan sepenuh jiwa ke dalam lagu ciptaannya.


“Selepas sembilan tahun tak keluar lagu balada, Alhamdulillah tahun ini saya melancarkan single Peluk. Kebetulan awal tahun ini pihak Nova Music menawarkan projek rakaman yang memerlukan lagu bergenre balada.


“Bagi saya, lagu Peluk ini sangat istimewa sebab saya cipta dan nyanyikan sendiri, selain bekerjasama dengan Akim sebagai penulis lirik lagu.


“Sejujurnya, apabila lama tidak menyanyikan lagu bergenre balada, memang gementar dan ia sangat berbeza ketika merakamkan lagu Pelangi Senja yang mana waktu itu saya masih bujang. Tapi, untuk lagu ini mudah saja nak dapatkan penghayatan dan ‘feel’. Dengar saja melodi, tanpa disedari saya menangis. ‘Feel’ itu sangat dekat,” katanya.


Menurut Stacy yang juga isteri kepada penyanyi popular, Akim Ahmad, single Peluk adalah buah tangan buat peminat yang sudah lama mahukan dirinya menyanyikan single bergenre balada.


“Sesekali bertukar genre apa salahnya kan. Lagi pula projek ini memang menarik. Jadi kenapa tak untuk saya terima. Dalam masa sama, projek ini juga buka ruang kepada saya. Peminat pun sudah lama tunggu dan rindukan lagu balada daripada saya.


“Selain menganggap lagu Peluk ini sesuatu yang istimewa, lagu ini juga memberikan cabaran tersendiri buat saya. Ketika proses rakaman, saya kena faham betul-betul lirik dan melodi. Malah, lirik pun ada pertukaran pada saat akhir. Lagu ini juga antara paling lama dirakam iaitu dalam empat ke lima jam juga. Kebiasaannya dalam dua jam saja,” katanya.


Dalam masa sama, Stacy terharu dan teruja apabila single Peluk itu dilancarkan serentak dengan single Bayang nyanyian suaminya, Akim Ahmad.


Lebih menarik apabila, jumlah tontonan kedua-dua video lirik rasmi lagu Peluk dan Bayang yang dimuat naik di saluran YouTube Nova Music Videos sejak seminggu lalu saling bersaing.


“Ini pertama kali saya dan Akim keluar lagu serentak. Akim pula selepas lima tahun bersama Akim & The Majistret baru muncul dengan single solo, dan saya pula kembali menyanyikan genre balada. Apa yang saya boleh cakap pada peminat, beza dan istimewanya lagu ini kepada saya adalah kerana inilah kali pertama saya menyanyikan lagu balada dengan seluruh ‘feel’. 


“Saya menyanyi dari dalam jiwa. Itu yang membuatkan saya sampai menangis. Tak dinafikan, menyanyikan lagu ciptaan orang lain dengan lagu ciptaan sendiri memberikan ‘feel’ yang berbeza. Saya juga mendapat banyak tunjuk ajar daripada Akim dalam menyelami bidang penulisan lagu.


“Apabila saya mulakan rakaman dan letakkan ‘feel’ dalam lagu ini baru dapat rasa. Pendek kata, lagu ini cukup dekat dengan karakter diri sendiri,” Stacy mengakhiri kata.


Single terbaru Peluk Stacy terbitan Nova Music dilancarkan pada 13 April 2021 dan boleh distrim di semua pelantar muzik digital mulai tarikh tersebut. Lirik video rasmi single tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos


April 29, 2021 / by / 0 Comments

No comments:

Post a Comment

Post Top Ad