Astro teruja mengumumkan pelantikannya oleh The Walt Disney
Company sebagai pengedar rasmi untuk perkhidmatan penstriman yang dinantikan,
Disney+ Hotstar, di Malaysia yang akan dilancarkan pada 1 Jun 2021.
Pelanggan Astro akan dapat strim lebih daripada 800 filem
dan 18,000 kandungan episod Disney yang menakjubkan pada aplikasi Disney+
Hotstar. Astro berusaha untuk menyediakan kandungan Disney+ Hotstar menerusi
kotak Ultra dan Ulti yang disambungkan, pada tahun ini kelak dan memberikan
kemudahan hiburan sehenti kepada pelanggan Astro.
Henry Tan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, berkata,
“Kami gembira dapat menjadi pengedar rasmi Disney+ Hotstar di Malaysia dan akan
mengagregasikan lebih banyak kandungan bertaraf dunia di platform kami. Tidak
lama lagi, pelanggan dapat menikmati kandungan hebat dari Disney+ Hotstar,
tambahan kepada kandungan terbaik Astro, kandungan tempatan, karya asli yang
memenangi anugerah, dan kandungan sukan yang tiada tandingannya, yang
menjadikan kami destinasi hiburan yang tidak disangkal lagi oleh rakyat
Malaysia.”
“Pelanggan ‘Movies Pack’ kami akan dapat strim hiburan
bertaraf dunia di Disney+ Hotstar hanya dengan tambahan RM5 sebulan, sementara
pelanggan selain ‘Movies Pack’ juga dapat menikmati Disney+ Hotstar melalui
‘bundle' nilai menarik yang lain. Ini adalah permulaan yang baik untuk tahun
penuh aksi di mana kami akan mengagregasikan perkhidmatan penstriman langganan
video ‘on demand’ (SVOD), memberikan pelanggan kami pelbagai jenis hiburan
untuk dipilih, yang memberi nilai dan kemudahan.”
David Shin, Pengurus Besar, The Walt Disney Company di
Taiwan, Hong Kong dan Asia Tenggara, berkata, “Kami teruja untuk melancarkan
Disney+ Hotstar kepada para pengguna di Malaysia dan juga bekerjasama rapat
dengan Astro untuk memberikan hiburan yang terbaik. Dari kandungan klasik
Disney yang ikonik, hinggakan siri Disney+ Original yang baharu, kandungan
terbaik dari pengarah Malaysia, pembuat filem dan pelakon-pelakon serta siri
dan filem Asia, pastinya ada sesuatu untuk dinikmati oleh semua peringkat
umur.”
Disney+ Hotstar adalah destinasi penstriman untuk kandungan
global dan Malaysia. Ia menyatukan filem-filem pecah panggung Hollywood dan
kandungan yang memenangi anugerah dari Disney, Marvel, Star Wars, Pixar,
National Geographic, FX, 20th Century Studios dan banyak lagi, yang juga
merangkumi tayangan perdana eksklusif dan tayangan pecah panggung dari studio
terkemuka di Malaysia.
Disediakan pada peranti bersambung internet yang serasi,
Disney+ Hotstar menawarkan kandungan bebas komersil dengan pelbagai filem asli
panjang, siri aksi langsung dan animasi, kandungan format pendek dan
dokumentari, termasuk siri seperti The Mandalorian, WandaVision dan The Falcon
and The Winter Soldier dan filem-filem seperti Avengers: Endgame, Aladdin dan
Frozen 2. Disney+ Hotstar juga akan menampilkan simpanan kandungan yang luas
untuk penerbitan pawagam Malaysia yang memenangi anugerah, dan kandungan hebat tempatan
seperti J2: J Retribusi, Zombitopia, Ada Hantu, Ejen Ali, Upin & Ipin dan
banyak lagi.
Mulai 4 Mei, pelanggan boleh mula mendaftar untuk
mendapatkan ‘Movies Pack’ yang disertakan dengan Disney+ Hotstar pada 1 Jun
melalui WhatsApp +603-95433838, Saluran 200, astro.com.my/Disney, dan juga
menerusi pengedar dan pembekal yang sah.
No comments:
Post a Comment