Menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut
oleh umat Islam tak lama lagi, pendengar bakal disajikan dengan sebuah lagu
raya terbitan Def Jam Malaysia yang 90 peratus bertemakan genre hip-hop yang
segar.
Lagu yang diberi judul Rap Der Raya ini menampilkan 6 orang
‘rapper’ yang sudah tidak asing lagi dalam dunia hiburan tanah air sama ada
pasaran ‘mainstream’ ataupun ‘undergound’. Mereka adalah Yonnyboii, Kmy Kmo,
Luca Sickta, Siqma, Asyraf Nasir dan Abubakarxli.
Rap Der Raya ciptaan asal Yonnyboii dan diberi sentuhan
istimewa dengan kerjasama Luca Sickta ini memberikan nafas baru dalam ‘trend’
penulisan lagu raya yang sudah ada sediakala.
Menekankan genre hip-hop yang dibawa oleh kesemua artis ini,
mereka percaya bahawa Rap Der Raya bakal memberi impak yang besar kepada dunia
seni tanah air.
Selaku tunjang utama dalam Rap Der Raya, Yonnyboii
menyatakan harapan agar lagu ini diterima dan membuka hati para pendengar untuk
menghayati lagu dari generasi baru.
Menurut Yonnyboii, lagu ini telah ditambah ‘perisa’ oleh
rakan-rakan duet yang lain daripada ‘demo’ asal yang dihasilkan olehnya
sendiri.
“Saya rakam berseorangan sahaja di rumah atas kerana
kesibukan jadual harian, dan diberi motivasi untuk meneruskan rakaman daripada
Luca Sickta dan Def Jam Malaysia.
“Tentang rakaman video muzik pula, sangat menyeronokkan dan
banyak pengalaman baru, dapat menegenali artis-artis yang lain dan mereka yang
terlibat di sebalik tabir iaitu warga kerja Def Jam Malaysia dan Universal
Music Malaysia dengan lebih rapat” kata Yonnyboii.
Salah seorang penerbit muzik untuk Rap Der Raya, Luca Sickta
menyatakan lagu ini berpotensi untuk menerapkan “mood” raya kepada semua yang
mendengar. Alunan melodi asal dari lagu Yonnyboii membuatkan dirinya tertarik
untuk menerbitkan ia kembali dalam versi baru.
Melodi korus memberi idea untuk dia menyusun komposisi muzik
campuran moden dan 80an. Rap Der Raya ialah lagu rap raya pertama dikeluarkan
setelah sekian lama. Gabungan 6 ‘rapper’ dalam lagu ini turut menjadi faktor
lagu ini lain dari yang lain.
“Sangat ringkas dan santai, ada pelbagai perspektif didalam
lagu ini, Luca mengambil perspektif makanan di hari raya sebagai salah satu
intipati seiring dengan konsep lagu ini. Segala proses dipermudahkan walau
dikala wabak Covid-19 masih lagi menular, proses menyiapkan rakaman lagu ini
tidak sampai dua minggu”.
Salah seorang lagi ‘rapper’ yang semakin membina nama iaitu
Kmy Kmo, yang juga merupakan rakan duet Luca Sickta yang sering bergandingan
dalam menghasilkan karya-karya hebat turut terlibat dalam projek lagu raya
bergenre hip-hop ini.
“Proses rakaman video muzik Rap Der Raya adalah satu
kenangan manis bagi saya, kami dapat rasakan kemeriahan raya lebih awal,
seperti satu keluarga besar yang pulang ke kampung dan raikan perayaan
Aidilfitri ini bersama-sama dengan penuh gembira.
“Ini kira pertama kali kami digabungkan dalam satu lagu
beramai-ramai untuk menjayakan lagu raya ini dan video muziknya bersama. Kita
dapat lihat macam-macam telatah, penuh dengan gelak tawa dan riang ria” jelas
Kmy.
Antara ‘rapper’ yang turut ditampilkan dalam Rap Der Raya adalah
Siqma. Siqma menyatakan pendapatnya bahawa RAP DER RAYA adalah sebuah karya
yang sangat unik kerana wujudnya gabungan antara ‘rapper-rapper’ dan
melodi-melodi yang berlainan. Proses penulisan lagu juga dikhabarkan sangat
mudah kerana mereka telah diberikan topik untuk dipilih dan dijadikan lirik
untuk bahagian masing masing.
“Saya harap generasi sekarang dapat menerima konsep lagu
raya baru yang kami bawa ini dan tidak lupus ditelan zaman” kata Siqma
menyatakan harapan untuk lagu ini.
Asyraf Nasir yang pernah menjuarai RapStar ERA 2020 juga
merupakan salah seorang artis yang menyumbangkan bakat dalam Rap Der Raya.
“Mood baru untuk raya! Lagu ini unik bukan sahaja kerana
ianya hasil gabungan 6 orang ‘rapper’ yang berbeza, tetapi irama muzik Rap Der Raya ini tidak kedengaran seperti lagu hip-hop yang orang akan jangkakan” kata
Asyraf.
Berbincang mengenai rakaman video muzik, Asyraf mengatakan
“Meriah gila! Bukan sahaja kami berenam ada di dalam video muzik ini, tapi
banyak juga ‘cameo-cameo’ oleh artis-artis Def Jam Malaysia dan Universal Music
Malaysia lain juga yang muncul! Kami berkesempatan untuk berkenalan dan
berinteraksi antara satu sama lain, baru rasa macam kami ada hubungan yang erat
dalam video muzik”.
Asyraf juga menyampaikan hasratnya agar lagu Raya dengan
sentuhan dan ‘feel’ yang baru ini akan menjadi antara lagu-lagu yang wajib
dimainkan di pagi raya bukan sahaja pada tahun 2021, tetapi tahun-tahun yang
akan datang juga.
Seorang lagi artis rakaman Def Jam Malaysia iaitu
Abubakarxli yang turut terlibat dalam Rap Der Raya berpendapat bahawa projek
ini merupakan sesuatu yang baharu tetapi masih mengekalkan suasana indah di
hari raya Aidilfitri dan seimbang antara melodi tradisional dan moden.
Mengatakan bahawa dia sendiri meminati hasil kerja penerbit muzik, Luca Sickta,
dan percaya akan hasil yang akan dilihat.
“Pada malam sebelum sesi rakaman saya ada sediakan lirik
untuk lagu ni, akan tetapi bila esoknya tiba waktu rakaman saya rasa tercabar
dengan penulisan yang baik dari ‘verse’ Asyraf Nasir lalu saya pun mengambil
keputusan untuk tidak mengunakan lirik yang asal sebaliknya saya minta izin untuk
‘freestyle’ di dalam studio rakaman, dan ini lah hasılnya dari rakaman gaya
bebas dari saya” jelasnya.
“Saya sangat gembira dapat jayakan rakaman lagu dan video
muzik ni berama rakan artis yang lain dalam masa sama menjaga SOP sesama kita.
Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dengan kawalan ketat dan
kerjasama yang baik dari pihak produksi dan juga warga kerja Def Jam Malaysia
dan Universal Music Malaysia”, tambah Abu.
Rap Der Raya kini boleh didapati di kesemua pelantar
penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan video
muzik rasmi boleh ditonton di saluran YouTube Def Jam Malaysia.
No comments:
Post a Comment