Selebriti dan usahawan popular, Neelofa dan suaminya, PU Riz
akan didakwa esok (20 Mei 2021) di Mahkamah Majistret Dua, Kompleks Mahkamah
Seremban pada pukul 9 pagi.
Menurut laporan Utusan Online, sumber mahkamah memberitahu pasangan itu akan didakwa berhubung
perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) dengan merentas negeri ke Pusat
Perniagaan Nilai 3, Nilai untuk membeli karpet.
Jelas sumber, kedua-dua mereka akan didakwa di bawah
Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit
(Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan Kawalan Pergerakan).
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superitenden Mohd.
Fazley Ab. Rahman dihubungi berkata, pihak polis akan mengeluarkan kenyataan
media berhubung perkara itu dalam masa terdekat.
Sebelum ini, Mohd. Fazley memberitahu, siasatan dijalankan
memandangkan isu gambar dan video melibatkan Neelofa dan Muhammad Haris itu
melanggar SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pada 4 Mei lalu, Neelofa dan PU Riz dipanggil ke Ibu Pejabat
Polis Daerah (IPD) Nilai bagi memberi keterangan selama empat jam berkaitan
penularan gambar dan video mereka berada di sebuah premis menjual permaidani di
Pusat Perniagaan Nilai 3 pada 2 Mei 2021.
Turut diambil keterangan ialah pemilik premis serta pembantu
kedai karpet tersebut.
Neelofa sekali lagi menjadi bualan hangat netizen selepas
didakwa merentas negeri ke Nilai 3, Negeri Sembilan untuk membeli karpet dan
netizen mempersoalkan bagaimana dia boleh nerentas negeri semata-mata untuk
membeli barang perhiasan rumah.
Perkara tersebut mula menjadi bualan selepas Neelofa memuat
naik sekeping foto dan video di akaun Instagram miliknya yang memaparkan dia
dan suami berada di sebuah kedai karpet.
Dalam video yang dikongsi juga, dia dilihat merakam seorang
pekerja dan turut mempromosikan kedai tersebut yang terletak di Nilai 3.
Siasatan sebelum ini dijalankan di bawah Seksyen 21A Akta
Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Peraturan 19
Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit
(Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan Kawalan Pergerakan). dan
Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
No comments:
Post a Comment