Kejayaan persembahan Rockology Malaysian Tour 2021 Search X
Akim di Melaka pada 10 April lalu memberi ruang dan peluang buat band legenda
itu kembali ‘bernyawa’.
Malah, bagi meneruskan legasi kegemilangan empat dekad
Search, penganjuran konsert Unplugged Search 40 Years yang dirancang pada
September depan bakal mengubat kerinduan peminat band ini.
Menariknya, konsert itu memberi aura baru terhadap Search
apabila sekali menampilkan penyanyi hebat, Akim Ahmad selaku vokalis di samping
dua anggota Search iaitu Kid dan Din.
Penganjurnya, Aman Nassim menerusi COF Music berkata,
pembaharuan yang ditampilkan pada konsert itu nanti memberikan satu lagi
transisi berbeza Search agar terus gemilang dalam industri muzik tempatan.
“Konsert ini saya bekerjasama dengan Search. Bagi saya,
mereka adalah band legenda yang perlu dihidupkan sampai bila-bila. Disebabkan
itu, saya merancang untuk membawakan konsert istimewa ini. Malah, untuk mencari
band yang bertahan sehingga empat dekad adalah susah.
“Jadi, menerusi konsert ini saya mahu memasarkan semula
jenama Search kepada generasi muda hari ini. Mungin selama ini mereka hanya
tahu beberapa lagu popular saja, sedangkan mereka ada banyak lagu hits.
“Disebabkan itu, menerusi konsert ini Search dan Akim akan
membawakan 10 lagu popular yang jarang peminat muda tahu. Selain itu, apa yang
paling penting adalah saya mahu peminat merasai aura baharu Search dengan
adanya kemunculan Akim selaku vokalis. Saya percaya dengan bakat dan vokal
dimiliki Akim, dia mampu menarik perhatian peminat dengan gaya nyanyian
tersendiri,” katanya.
Aman berkata, konsert yang dirancang itu dijangka
berlangsung di lokasi yang mampu menempatkan 300 hingga 500 penonton mengikut
Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.
“Tarikh dan lokasi tepat masih belum dapat ditetapkan sebab
kita menunggu perkembangan semasa dalam negara. Sekiranya Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) ditamatkan dan digantikan dengan arahan lain beserta SOP
baharu, ketika itu baharulah kita akan berbincang dan putuskan semua.
“Sekiranya persembahan secara bersemuka dapat dilaksanakan
kira akan menjual tiket. Namun, buat masa sekarang apa yang pasti kita juga
akan menjual tiket secara Live Streaming. Bagi peminat yang tidak dapat hadir,
mereka boleh menonton secara dalam talian,” katanya.
Menurut Aman, antara tujuan lain penganjuran konsert itu
adalah mahu menjenamakan juga syarikat COF Music yang diterajuinya.
“Tujuan lain penganjuran konsert ini adalah saya nak
menjenamakan juga COF Music. Sebab sebelum ini kami banyak terbitkan lagu
berunsurkan urban muzik. Dalam masa sama, saya tak boleh lepas pandang perkara
yang legenda seperti muzik rock ini.
“Saya perlu juga konteks muzik yang pelbagai. Jadi,
penganjuran konsert Search ini adalah permulaan buat COF Music maju ke depan.
Mana tahu selepas ini kami boleh bawa semua muzik yang ada dalam Malaysia
pula,” katanya.
Selain itu, Aman berkata COF Music mempunyai perancangan
yang lebih besar buat Search selepas ini.
“Kalau ikutkan perbincangan dengan Abang Din, saya nak
membawa konsert Search ke Indonesia dan Singapura. Seperti semua sedia maklum,
mereka mempunyai kelompok peminat yang besar di dua negara itu.
“Tapi, disebabkan masing-masing negara masih bergelut dengan
penularan Covid-19, jadi kita terpaksa tangguh dulu. Mana tahu tahun depan
boleh ke luar negara, kita akan pergi.
Jadi, apabila COF Music ambil alih, perancangan untuk Search memang besar selain kami nak juga buat juga siri jelajah dalam negara,” katanya.
Jom follow kami di Telegram untuk tidak terlepas berita sensasi dan terkini : https://t.me/cincaimedia
No comments:
Post a Comment