Ahli keluarga pelakon Norman Hakim akan dipanggil pihak
polis bagi membantu untuk memberi keterangan berhubung dakwaan melanggar prosedur
operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Mohamad Farouk Eshak berkata,
pihaknya ada menerima laporan polis mengenai gambar keluarga selebriti
berkenaan yang tular di media sosial baru-baru ini.
“Gambar berkenaan menunjukkan sambutan hari raya bersama
seisi keluarga yang disyaki tidak tinggal sebumbung.
“Kejadian itu disyaki berlangsung di kediaman selebriti
berkenaan yang terletak di Hulu Kelang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Mohamad Farouk, foto yang tersebar itu memaparkan
seramai 13 individu yang disyaki tidak tidak mematuhi SOP.
“Majlis berkenaan dijalankan tanpa mematuhi SOP yang
ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu aktiviti ziarah
hari raya.
“Aktiviti berkenaan adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh
PKP dilaksanakan.
“Susulan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya
menerima satu laporan polis berkaitan kejadian berkenaan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Peraturan 17 Peraturan Peraturan
Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
“Kes itu masih dalam siasatan dan pihak polis akan memanggil
semua yang terbabit untuk memberikan keterangan.
“Untuk makluman, sebanyak 599 kompuan dikeluarkan dan 16
kertas siasatan dibuka atas pelbagai kesalahan melanggar SOP PKP di daerah ini
bagi tempoh 1 Januari lalu hingga semalam,” jelasnya.
Sementara itu, Mohamad Farouk menasihatkan orang ramai
supaya tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan kes tersebut masih dalam
sisasatan.
“Kami menyeru orang ramai supaya sentiasa mematuhi arahan
dan SOP yang ditetapkan kerajaan dari semasa ke semasa,” ungkapnya.
Terdahulu, Norman menyambut 1 Syawal bersama isteri dan
anak-anaknya serta dengan kehadiran keluarga bekas isterinya, Abby Abadi.
Perkongsian gambar yang dimuat naik di Instagram itu
menimbulkan pertikaian banyak pihak yang mana mereka mempersoalkan keberadaan
Abby bersama keluarganya sewaktu foto itu dirakamkan.
Dakwa netizen, ia jelas melanggar SOP larangan melakukan
sebarang aktiviti kunjung-mengunjung rumah ke rumah seperti yang ditetapkan
oleh MKN.
No comments:
Post a Comment