Post Top Ad

6.5.21

"Saya juga manusia biasa, kesabaran ada batasan..." - Lan Pet Pet akhirnya buka mulut isu pukul penghantar makanan



Pelawak Lan Pet Pet akhirnya tampil menceritakan hal sebenar mengenai sebuah rakaman video yang memaparkan dirinya sedang memukul seorang penghantar makanan yang tular baru-baru ini.


Menurut Lan atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad,52, dia ternampak penghantar makanan terbabit yang sedang menunggang motosikal menggunakan telefon bimbit dengan kedudukan motosikal di tengah jalan.


Memikirkan perbuatan lelaki terbabit mendatangkan bahaya bukan saja kepada dirinya tetapi juga pengguna jalan raya yang lain, Lan menghampirinya dan bersemuka.


Namun, Lan mulai hilang sabar apabila tegurannya itu dibalas dengan provokasi dan makian.


“Saya menegur pemuda itu… Tindakannya (menggunakan telefon bimbit ketika menunggang motosikal) amat berbahaya. Bukan sahaja boleh mengancam nyawanya, malah pengguna jalan raya lain.


“Bagaimanapun, lain pula jadinya apabila saya kena maki dan menerima provokasi. Saya juga manusia biasa, kesabaran ada batasan. Takkan saya mahu membiarkan sahaja apabila diserang.


“Tindakan saya hanya untuk mempertahankan diri, bukan tunjuk samseng. Bagaimanapun, kami hanya bergaduh dalam beberapa saat sahaja,” katanya memetik laporan Harian Metro.


Video berdurasi 24 saat itu dikongsi oleh pengguna laman sosial dan mendakwa anggota kumpulan Senario itu melakukan kekerasan terhadap lelaki penghantar makanan itu.


Menerusi video berkenaan, Lan dilihat merangkul dan memukul kepala lelaki berkenaan, tetapi cuba ditenangkan beberapa tiga lelaki lain. Di hujung video, Lan juga melemparkan kata-kata berbaur amaran kepada lelaki itu.


Dalam pada itu Lan sudah membuat laporan polis berhubung insiden pergaduhan berkenaan.


Katanya, dia juga membuat laporan polis terhadap seorang wanita dalam kereta dipercayai merakamkan dan menyebarkan video ini.


“Saya kesal dengan tindakan wanita ini, dia hanya melihat kejadian depan mata, tanpa mengetahui punca kejadian sebenar. Saya diberitahu wanita ini mula menyebarkan video menerusi aplikasi WhatsApp hingga tular.


“Dia tidak sepatutnya membuka aib orang sesuka hati. Tindakannya menyebarkan video ini boleh menimbulkan fitnah,” katanya.


Tambah Lan, dia akan bertemu dengan lelaki penghantar makanan berkenaan untuk menyelesaikan perkara tersebut.


“Kami akan bersemuka di balai polis untuk menyelesaikan isu yang tercetus antara kami. Saya tidak mahu membiarkan insiden ini terus membelenggu hidup secara berpanjangan. Lagipun, eloklah kami meleraikan kekusutan yang berlaku, Aidilfitri pun tidak lama," dedah Lan.


Sumber: Hmetro


May 06, 2021 / by / 0 Comments

No comments:

Post a Comment

Post Top Ad