Post Top Ad

7.5.21

“Setiap minggu saya ada pemeriksaan susulan” - Janna Nick rujuk pakar sakit jiwa bagi masalah gangguan bipolar yang dialaminya

Foto: Instagram @jannanick
Pelakon, pengacara dan penyanyi Janna Nick mendedahkan dirinya kini sedang menjalani rawatan dengan pakar sakit jiwa bagi masalah gangguan bipolar (bipolar disorder) yang dialaminya.

Menurut Janna atau Nurul Jannah Muner,26, keadaan dia kini semakin stabil dan kembali tenang selepas membuat keputusan untuk merujuk masalahnya itu kepada pakar.


“Saya masih menjalani rawatan dengan pakar sakit jiwa. Setiap minggu saya ada pemeriksaan susulan dengan doktor.


“Alhamdulillah, keadaan saya semakin okey sebab di bawah pengambilan ubat-ubatan seperti yang disyorkan oleh doktor,” katanya.


Namun, pengacara program Melodi itu akui sedang membiasakan diri mengambil ubat terutama ketika sedang bekerja.


“Pengambilan ubat-ubatan itu sebenarnya tidak sesuai diambil ketika saya sedang bekerja kerana ia buatkan saya terlalu tenang dan mengantuk.


“Sebenarnya, saya sudah tiga kali tukar ubat kerana tidak sesuai dengan saya,” ujarnya.

Foto: Instagram @jannanick
Ketika ditanya tentang respons keluarga selepas pendedahan yang dibuat di akaun Instagram, Janna memaklumkan mereka turut terkejut dengan perkongsiannya.


“Keluarga sangat terkejut sebab mereka tak jangka saya akan buat pendedahan berkenaan.


“Mereka (keluarga) tahu yang saya pernah bertindak mahu membunuh diri sebanyak dua kali. Keluarga juga tak sangka tahap emosi saya rupa-rupanya serius.


“Bila saya ambil ubat, barulah saya dapat berfikir sepertimana manusia normal lain.


“Sejujurnya saya ingat saya normal seperti orang lain tetapi apabila saya rujuk pada pakar, rupa-rupanya sebaliknya,” jelasnya.


Tambah Janna, masyarakat hari ini kurang pendedahan mengenai masalah mental lalu menuduh tindakannya sebelum ini sebagai sengaja mencari perhatian orang ramai.


Bercakap tentang karier seninya pula, Janna akan muncul dalam telefilem Misteri Mona Kuserumu Kembali bersama pelakon Elisya Sandha yang akan ditayangkan pada hari raya ketiga, pukul 10 malam di TV3.


Malah, dia juga akan bersama-sama dengan Awal Ashaari bagi program Melodi Raya 2021 yang akan ditayangkan dua episod iaitu pada 16 dan 23 Mei.


Sumber: UtusanTV


TONTON VIDEO PILIHAN:
May 07, 2021 / by / 0 Comments

No comments:

Post a Comment

Post Top Ad