Post Top Ad

3.5.21

“Tiada sebarang aktviti rentas negeri berlaku...kebetulan dia memang ada di Kuala Lumpur” – Siti Nurhaliza jawab isu majlis tahnik anak kedua langgar SOP



Selepas majlis tahnik anak keduanya menjadi bualan hangat netizen, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza akhirnya tampil membidas berlakunya pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) semasa majlis tersebut diadakan.

 

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak Siti, tiada sebarang aktiviti rentas negeri berlaku melibatkan tetamu undangan ke majlis tahnik anak lelakinya, Muhammad Afwa yang diadakan pada 26 April lalu.

 

“Berhubung isu yang sedang tular ketika ini, kami sebagai tuan rumah, ingin memberi pencerahan mengenai majlis tahnik anak lelaki kami yang didakwa tidak mengikut SOP termasuk berlakunya aktiviti rentas negeri.

 

“Dakwaan ini ditimbulkan apabila kami mengundang seorang pendakwah bebas dari negeri lain sebagai tetamu. Di sini kami ingin memaklumkan tiada sebarang aktiviti rentas negeri berlaku.

 

“Sebaliknya individu itu bersetuju untuk hadir kerana kebetulan dia memang berada di Kuala Lumpur pada tarikh majlis itu diadakan,” jelasnya.

Memandangkan acara itu dibuat ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), atur cara majlis dan bilangan tetamu yang hadir mematuhi syarat penganjuran majlis sosial Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti yang tertakluk pada tempoh berkenaan.

 

“Majlis juga terbahagi kepada tiga sesi dengan bilangan tetamu terhad…dihadiri keluarga terdekat serta kumpulan Maulid untuk mengambil keberkatan fadhilat sunat mengadakan tahnik dan memberi nama kepada anak pada hari ketujuh mengikut sunnah Rasulullah.

 

“Mengenai acara tahnik sebelah siang yang dihadiri Dr Zulkifli, ia bukanlah majlis khas seperti yang disangka. Sebaliknya beliau hanya singgah untuk menyempurnakan bacaan doa dan tahnik sebelum terpaksa bergegas pulang untuk urusan lain,” katanya.

 

Menurut Siti lagi, sebagai rakyat Malaysia yang patuh pada undang-undang dan peka dengan situasi semasa, mereka tidak pernah memandang ringan mengenai hal tersebut dan selagi berada dalam kawalan mereka cuba untuk mematuhinya semampu mungkin

 

“Penjelasan ini bukanlah untuk mempertahankan diri tetapi bertujuan memberikan pencerahan terhadap beberapa perkara yang boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham terhadap pihak tertentu.

 

“Kesempatan ini juga kami ingin memohon maaf jika apa yang berlaku ini menerbitkan rasa kurang senang kepada mana-mana pihak.

 


“Kami memahami dan berlapang dada dengan setiap teguran yang diberikan. Kami juga bersedia untuk memberi sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa jika diperlukan.

 

“Ini merupakan kenyataan terakhir daripada kami mengenai isu ini dan berharap agar perkara ini dapat diselesaikan dan difahami dengan baik,” ungkapnya.

Sumber: Instagram @ctdk



May 03, 2021 / by / 0 Comments

No comments:

Post a Comment

Post Top Ad