Nama Deja Moss tidak asing lagi dalam industri hiburan
tempatan. Meskipun tidak lagi aktif menghasilkan lagu baharu, keampuhan bakat
anak kelahiran Sarawak ini masih terpahat dalam ingatan ramai.
Melewati dua dekad kemunculannya dalam industri hiburan,
Deja yang pernah merangkul anugerah Penyanyi Terbaik Asia, Festival Muzik Asia 2005, menghadirkan sebuah
catatan mengenai perjalanan jatuh bangun kehidupannya menerusi autobiografi,
Hidupku Takdirku.
Di sebalik kemilauan populariti yang diraih, Deja turut
merasai kepahitan dan kekecewaan yang menjadi titik tolak yang mengubah
perjalanan hidupnya.
Anak seni berusia 47 tahun itu berkata, autobiografi setebal
200 halaman itu mempunyai pengertian tersendiri buat dirinya kerana ia menjadi
tanda ingatan istimewa untuk peminat sebelum dia meninggalkan tanah air untuk
memulakan kehidupan di Chicago, Amerika Syarikat.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Asmara Ini itu berkata,
idea penghasilan buku itu tercetus sekitar pertengahan tahun lalu dan bersyukur
impian itu menjadi kenyataan meskipun, terpaksa menempuh pelbagai rintangan
untuk menyiapkannya.
"Bukan saya tidak mahu menghasilkan single baharu,
namun proses pemilihan lagu memakan masa. Tambahan pula, ketika ini, negara
masih berdepan kemelut Covid-19. Jadi, saya perlu mencari alternatif untuk
mendekati peminat yang berterusan menghargai perjuangan saya.
"Melihat situasi semasa, saya terfikir menghasilkan
sebuah buku yang memberi inspirasi dan motivasi kepada wanita, terutama mereka
yang sedang berdepan episod sukar dalam kehidupan dan tercari-cari kekuatan
untuk bangkit semula.
"Saya anggap penerbitan buku inspirasi ini sebagai
tanda mata atau bingkisan hati buat peminat tersayang. Memang berat apabila
terpaksa meninggalkan semua, tetapi saya akur tempat seorang isteri adalah di
sisi suaminya," katanya.
Deja mendirikan rumah tangga dengan lelaki keturunan Amerika-Syria,
Maher Khani di Chicago, Amerika Syarikat pada Jun 2019.
Bagaimanapun, pandemik Covid-19 yang melanda dunia awal
tahun lalu membuatkan mereka terpaksa berjauhan apabila Deja perlu kembali ke
tanah air bagi menyelesaikan beberapa perkara peribadi, sebelum memulakan hidup
baharu di Chicago.
"Lebih setahun juga kami hanya berkomunikasi menerusi
telefon dan panggilan video. Sepanjang tempoh itu, saya banyak berdoa supaya
Allah permudahkan kami untuk dapat bersatu kembali dan menjalani rutin
kehidupan berumah tangga seperti pasangan lain.
"Alhamdulillah, ia akan menjadi kenyataan sedikit masa lagi. Memandangkan saya terpaksa berada lebih lama di sana untuk menguruskan beberapa hal, termasuk permohonan mendapatkan status Penduduk Tetap, saya terfikir bagaimana mahu terus mendekati peminat di tanah air.
"Menerusi penerbitan buku ini, saya berharap kami dapat
berkongsi sedikit pengalaman, di samping menyuntik kata semangat antara satu
sama lain supaya terus kuat dan berani menempuh dugaan hidup, terutama ketika
dunia sedang berjuang melawan pandemik Covid-19," katanya.
Mengangkat falsafah Kesat Tangisan, Raikan Kekuatan, Deja
berkata, Hidupku, Takdirku merangkumkan pelbagai episod yang pernah menguji
kekuatan dan kecekalannya untuk terus berdiri menjadi dirinya hari ini.
Menerusi catatan itu juga, Deja membongkar episod beliau
berdepan kemurungan apabila dibelenggu masalah peribadi, selain berkongsi detik
mencabar apabila bertarung nyawa apabila menderita sakit misteri ketika awal
perjalanan kerjaya nyanyiannya.
Deja turut berkongsi kecekalan mengharungi pelbagai episod
kontroversi yang hampir meragut kerjaya seni yang begitu dicintainya, selain
perjuangan mencari keredaan Ilahi yang memberinya kebahagiaan sebenar.
"Saya berharap garapan ini menjadi pemangkin buat wanita yang pernah tersungkur supaya berani mengumpul kekuatan kerana tiada siapa yang dapat mengubah nasib diri kecuali kita sendiri.
"Saya juga berharap, perjalanan yang saya lalui itu
sedikit sebanyak memberi suntikan semangat dan motivasi kepada wanita di luar
sana yang sedang berdepan ujian getir untuk tidak mengalah dengan dugaan
hidup," katanya.
Diterbitkan dalam dua versi iaitu cetakan dan eBook pada
harga RM39.90, Hidupku,Takdirku boleh didapati di:
Shopee: https://shopee.com.my/product/129729250/8971167859/
Instagram: @therealdejamoss
Page Facebook: https://www.facebook.com/therealdejamoss
No comments:
Post a Comment