Post Top Ad

5.4.21

Tragedi Love Canal



PELUPUSAN sisa-sisa buangan kimia adalah amat penting bagi memastikan ia tidak mendatangkan bahaya kepada alam sekitar dan juga manusia. Jika dilupuskan dengan cara yang salah, ia pasti akan mengundang tragedi seperti apa yang berlaku di Love Canal, Niagra Falls, Amerika Syarikat sekitar tahun 1978 dulu.

Tragedi Love Canal adalah salah satu tragedi alam sekitar yang paling mengejutkan dalam sejarah Amerika Syarikat. Di situ, penduduknya menderita kesan sampingan akibat sisa toksik yang dilupuskan di bawah rumah mereka. Penduduk dewasa dan kanak-kanak mengalami pelbagai masalah kesihatan yang serius dan kronik seperti barah, keguguran, kecacatan semasa kelahiran, dan macam-macam lagi.

Love Canal adalah sebuah kawasan di pinggir timur Niagara Falls, New York, Amerika Syarikat yang telah dibuka oleh seorang usahawan bernama William T. Love sekitar tahun 1890an. Love bercadang mahu membangunkan kawasan itu menjadi sebuah kawasan penempatan dan industri yang unggul.

Beliau telah mengorek tanah dan membuat sebuah terusan antara atas dan bawah sungai Niagara untuk menjana kuasa elektrik dengan murah ke bandar impiannya. Namun impiannya untuk membangunkan bandar tersebut tidak terlaksana kerana masalah ekonomi. Pada tahun 1910, projek itu dibatalkan dan apa yang tinggal hanya sebuah terusan yang terbengkalai.


Selepas itu, kawasan tersebut telah dilelong dan terusan terbengkalai itu telah dijadikan sebagai kawasan pelupusan bandar Niagra Falls. Pada tahun 1942 tanah berkenaan diambil alih oleh syarikat Hooker Chemical and Plactics Corporation yang meneruskan penggunaan kawasan itu sebagai tapak pelupusan sisa kimia dan telah melupuskan 21,800 tan sisa kimia.

Pada tahun 1953 tapak pelupusan itu telah ditimbus dengan tanah dan syarikat itu kemudian telah menjual tanah tersebut kepada Lembaga Pendidikan Niagra Falls untuk hanya satu dollar. Pada masa itu, penduduk Niagra Falls telah berkembang secara drastik dan mereka memerlukan tanah untuk membina sekolah baru.

Tanpa berfikir panjang mereka membeli tanah tersebut kerana terdesak walaupun tahu kawasan tersebut telah digunakan untuk mengebumikan sisa toksik. Pada tahun 1955, kira-kira 100 rumah telah dibina di kawasan Love Canal. Kebanyakan penduduk yang tinggal di situ tidak tahu kawasan tersebut dulunya adalah tempat pelupusan sisa toksid.



Semuanya kelihatan normal dan tiada masalah sehinggalah selepas musim sejuk luar biasa melanda pada tahun 1976. Salji yang cair telah meresap ke dalam tanah dan telah memaksa sisa kimia yang tertanam keluar ke permukaan dan penduduk telah terdedah kepada sisa kimia tersebut.

Tahun-tahun berikutnya, penduduk mula mengalami pelbagai masalah kesihatan. Kadar keguguran, bayi yang mati selepas lahir dan juga bayi yang lahir dengan kecatatan turut meningkat daripada biasa.

Satu kajian oleh Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) menunjukkan bahawa daripada tiga puluh enam orang yang diuji, sebelas mempunyai kerosakan kromosom dan daripada lima belas bayi di Love Canal, hanya dua orang yang sihat.


Akhirnya pada musim bunga tahun 1978, Pesuruhjaya Kesihatan Negeri, Dr. Robert P. Whalen mengisytiharkan kawasan sekitar Love Canal berbahaya dan tidak selamat didiami. Lebih daripada 1,000 keluarga terpaksa berpindah keluar dari kawasan Love Canal.

Kawasan berbahaya itu mendapat perhatian negara dan pada 7 Ogos 1978, Presiden Jimmy Carter mengarahkan Agensi Bantuan Bencana Persekutuan untuk bantuan. Agensi di peringkat negeri dan persekutuan telah menghabiskan beratus-ratus juta dolar cuba untuk membersihkan pencemaran di Love Canal. Daripada jumlah itu, Hooker Chemical telah diarahkan untuk menyumbang sebanyak $130 juta dolar.

Ekoran tragedi itu, satu akta baru iaitu Akta Tindakan Komprehensif Alam Sekitar, Pampasan dan Liabiliti telah diwujudkan bagi tujuan mengutip cukai pada syarikat-syarikat industri bahan kimia dan gas. Tujuannya adalah mengumpul dana untuk membersihkan dan membaik pulih kawasan yang terjejas oleh bahan buangan berbahaya seperti apa yang berlaku di Love Canal pada masa depan.



Bagaimanapun, pada awal tahun 1990an sebahagian kawasan itu diisytiharkan sudah bersih daripada pencemaran sisa toksid dan selamat untuk diduduki oleh EPA. Lebih 200 rumah yang ditinggalkan di kawasan dibahagian utara Love Canal itu dibaiki dan dijual semula dan kawasan itu dikenali Black Creek Village. Bahagian lain Love Canal telah dipagar di sekelilingnya dan telah menjadi kawasan larangan.

Kejadian ini menjadi salah satu contoh kepada dunia bahawa bahayanya sesuatu sisa yang tidak dilupuskan dengan betul. Ia boleh berlaku lagi di mana sahaja di dunia ini kecuali kita mencegahnya.


April 05, 2021 / by / 0 Comments

No comments:

Post a Comment

Post Top Ad