Post Top Ad

18.5.21

Langgar SOP sambutan Hari Raya, Norman Hakim sekeluarga dipanggil polis



Ahli keluarga pelakon Norman Hakim akan dipanggil pihak polis bagi membantu untuk memberi keterangan berhubung dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya ada menerima laporan polis mengenai gambar keluarga selebriti berkenaan yang tular di media sosial baru-baru ini.


“Gambar berkenaan menunjukkan sambutan hari raya bersama seisi keluarga yang disyaki tidak tinggal sebumbung.


“Kejadian itu disyaki berlangsung di kediaman selebriti berkenaan yang terletak di Hulu Kelang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Tambah Mohamad Farouk, foto yang tersebar itu memaparkan seramai 13 individu yang disyaki tidak tidak mematuhi SOP.


“Majlis berkenaan dijalankan tanpa mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu aktiviti ziarah hari raya.


“Aktiviti berkenaan adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.


“Susulan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menerima satu laporan polis berkaitan kejadian berkenaan,” katanya.


Kes disiasat mengikut Peraturan 17 Peraturan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.


“Kes itu masih dalam siasatan dan pihak polis akan memanggil semua yang terbabit untuk memberikan keterangan.


“Untuk makluman, sebanyak 599 kompuan dikeluarkan dan 16 kertas siasatan dibuka atas pelbagai kesalahan melanggar SOP PKP di daerah ini bagi tempoh 1 Januari lalu hingga semalam,” jelasnya.


Sementara itu, Mohamad Farouk menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan kes tersebut masih dalam sisasatan.


“Kami menyeru orang ramai supaya sentiasa mematuhi arahan dan SOP yang ditetapkan kerajaan dari semasa ke semasa,” ungkapnya.


Terdahulu, Norman menyambut 1 Syawal bersama isteri dan anak-anaknya serta dengan kehadiran keluarga bekas isterinya, Abby Abadi.


Perkongsian gambar yang dimuat naik di Instagram itu menimbulkan pertikaian banyak pihak yang mana mereka mempersoalkan keberadaan Abby bersama keluarganya sewaktu foto itu dirakamkan.


Dakwa netizen, ia jelas melanggar SOP larangan melakukan sebarang aktiviti kunjung-mengunjung rumah ke rumah seperti yang ditetapkan oleh MKN.


May 18, 2021 / by / 0 Comments

No comments:

Post a Comment

Post Top Ad