Post Top Ad

10.7.21

Cinta Syurgaku pertaruhan pertama Zareef Sein


Muhammad Zareef Hussein Bin Anwar Hussein atau nama pentasnya Zareef Sein merupakan pendatang baru dalam dunia seni suara tanah air.

 

Penyanyi yang berasal dari Kuala Lumpur ini mula mengasah bakat nyanyiannya seawal usia 13 tahun. Pada tahun lepas, Zareef Sein telah menyertai program realiti TV iaitu Vokal Mania (2020) dan pernah membuat sedikit kontroversi apabila telah mengalahkan Aina Abdul di dalam program tersebut di episod yang kelima.

 

Pada tahun ini, Zareef telah mengorak langkah dengan melancarkan single solo terbaharunya yang berjudul Cinta Syurgaku.

 

Lagu Cinta Syurgaku merupakan lagu ciptaannya sendiri dan telah diberikan susunan muzik indah oleh komposer terkenal tanah air iaitu Audi Mok.

 

Single solo pertama Zareef ini merupakan percubaannya dalam membina nama dalam industri muzik, “idea untuk Cinta Syurgaku ini muncul ketika saya berada di dalam bilik. Semua lagu yang saya tulis adalah berdasarkan kisah yang terjadi di dalam ‘dunia cinta’ saya yang tidak berakhir dengan baik. Tetapi apabila saya menulis lirik, saya andaikan cerita cinta itu berakhir dengan happy ending,”.

 


Jelas Zareef lagi, proses untuk menulis lirik Cinta Syurgaku ini mengambil masa yang singkat sahaja iaitu 30 minit dan proses merekod single ini pula mengambil masa selama 3 jam. Menurut Zareef, bekerjasama dengan komposer terkenal, Audi Mok merupakan satu penghargaan buat dirinya sebagai pendatang baru di dalam industri muzik Malaysia.

 

“Saya berterima kasih kepada Warner Music Malaysia atas peluang yang diberikan untuk merakamkan lagu Cinta Syurgaku ini.  Menerusi lagu ini, saya berharap ianya dapat mengetengahkan semula bakat saya kepada peminat seni dan pendengar muzik tempatan,” ujar Zareef.

 

“Harapan saya agar lagu ini akan diterima baik oleh pendengar muzik di luar sana. Mudah-mudahan lagu ini mampu memeriahkan lagi industri muzik Malaysia dalam masa-masa sukar seperti ini,” jelas penyanyi berusia 21 tahun ini.


Single Cinta Syurgaku terbitan Warner Music Malaysia ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 2 JULAI 2021 manakala video muzik rasmi Cinta Syurgaku boleh ditonton di Youtube Warner Music Malaysia bermula 7 JULAI 2021.


July 10, 2021 / by / 0 Comments

No comments:

Post a Comment

Post Top Ad