The Chocolate
Hills merupakan salah satu daripada fenomena alam di dunia yang begitu
menakjubkan. Dikenali sebagai Bukit Coklat oleh rakyat setempatnya, fenomena alam
ini merupakan satu formasi geologi luar biasa yang hanya boleh ditemui di Pulau
Bohol, Filipina.
Jika
dilihat dengan pandangan mata kasar, bukit ini seperti kebanyakan bukit-bukit
lain yang wujud di dunia yang mana dipenuhi dengan rumput yang menghijau. Tetapi
hakikatnya pada waktu-waktu tertentu bukit ini akan kelihatan aneh. Ini kerana
dalam tempoh setahun sekali, bukit ini akan berubah warna menjadi coklat dan
apabila dilihat dari udara, ia kelihatan seperti butiran-butiran coklat yang
banyak.
Bukit
ini terletak di sebuah kepulauan yang mempunyai pembangunan yang sangat minimum
di sekitarnya. Malah ada sesetengah tempat dibiarkan tanpa disentuh alam semula
jadinya. Begitu juga ada sebahagian besar daripada kawasan di sini diletakkan
di bawah konservasi. Barangkali kerana polisi
sebegitu, menjadikan Pulau Bohol begitu terkenal dengan keindahan alamnya.
Seunik namanya, Bukit Coklat yang
dianggap keajaiban ke lapan dunia di kalangan penduduk Filipina sememangnya merupakan
kejadian alam yang sangat mengagumkan. Di atas hamparan muka bumi seluas
kira-kira 50 kilometer persegi, melata kira-kira 1,268 bukit kecil
berketinggian antara 30-50 meter yang dapat disaksikan dari puncak Sagbayan.
Dikisahkan Bukit Coklat terbentuk
daripada titisan air mata gergasi, yang satu ketika dahulu merupakan penjaga
seluruh pulau ini. Gergasi itu menangis setelah buah hatinya, seorang gadis
biasa yang sering diintainya ketika mandi di sungai, mati secara mengejut
setelah ditegurnya. Lalu gergasi itu terlampau sedih lantaran rasa cinta dan
rindu yang tidak lagi tertahan. Air mata sang gergasi tidak henti-henti
sehinggalah membentuk bukit-bukit kecil ini.
Kisah dongeng cinta gergasi yang
tidak kesampaian itu sememangnya kedengaran tidak logik, tetapi bagi penduduk
Bohol, mereka lebih suka menyebarkan cerita legenda tersebut di kalangan
pelancong berbanding bukti saintifik yang menjelaskan pembentukan bukit
berkenaan.
Hakikatnya, menurut ahli geologi daripada pusat geologi Filipina, bukit-bukit coklat itu adalah anak gunung berapi yang berada di dasar laut. Ia terbentuk daripada fenomena atau kejadian volkanik di kawasan berkenaan sekitar puluhan tahun yang lampau. Bukti bahawa kawasan tersebut pernah berada di dasar laut dapat disaksikan sehingga kini menerusi penemuan cangkerang hidupan laut seperti siput dan sebagainya.
Meskipun dikenali dengan nama
Bukit Coklat, namun bukit ini tidaklah sepanjang masa berwarna coklat. Sebaliknya
hanya pada bulan Mac hingga Mei sahaja pemandangan indah ini dapat disaksikan. Dengan
lebih tepat lagi ketika Filipina mengalami musim kemarau. Oleh sebab itu, bukit ini akan berubah menjadi
coklat kerana ia dilitupi oleh rumput jenis Imperata
cylindrica dan Saccharum spontaneum
yang akan kering dan menghijau mengikut musim. Apabila tiba musim kemarau,
rumput ini akan mati dan kesemua bukit tersebut akan menjadi gondol.
Walaupun wujud pelbagai pendapat
di kalangan ahli geologi dunia, namun kebanyakan daripada mereka bersetuju
bukit-bukit ini terbentuk daripada sisa-sisa letupan gunung berapi dasar laut beratus
tahun yang lampau. Walau bagaimanapun, penduduk tempatan masih lagi berpegang
teguh kepada kisah mitos dan legenda yang telah tersebar sejak beberapa ratus
tahun yang lalu.
Saban tahun, Bukit Coklat ini sering menjadi perhatian para pelancong dari seluruh negara. Ia juga telah diwartakan sebagai tapak Warisan Dunia di bawah penyeliaan UNESCO bagi menjaga dan memelihara khazanah alam semula jadinya.
No comments:
Post a Comment