TENTU ramai berasa geli apabila melihat cicak. Apatah lagi hendak menyentuh
atau memegangnya. Namun pelik, seorang pemuda dari India, Navratan Kasar, langsung
tidak mempunyai perasaan seperti itu. Malah dengan selamba dia membiarkan
haiwan reptilia itu bebas merayap
disegenap tubuhnya.
Ada kalanya, tanpa rasa geli dia meletakkan beberapa ekor cicak ke dalam
mulutnya dalam posisi kepala haiwan itu terjulur keluar di tepi bibir. Bukan
hanya setakat itu, kerap kali juga dia membiarkan haiwan berekor panjang tersebut
bermanja dengan mengigit-gigit tangannya.
Malah, belia berumur 21 tahun ini juga sering kali merelakan cicak-cicak
berkenaan bergayut di telinga, pipi, kelopak mata dan setiap inci bahagian mukanya.
Pendek kata, badan Kasar seperti sudah menjadi tempat untuk haiwan-haiwan tersebut
melepak, bermain dan beristirehat.
Bagi mereka yang alergi pada cicak, melihat aksi bersahaja yang ditunjukkan
oleh Kasar sudah cukup menggerunkan dan meloyakan. Tapi tidak bagi Kasar kerana
bermesra dengan cicak adalah satu perkara biasa.
Ia merupakan satu perasaan yang sama seperti mana anda berasa gembira dan
tenang ketika membelai mesra haiwan kesayangan seperti kucing. Cuma bezanya,
Kasar lebih menyayangi haiwan menggelikan itu. Minat yang jarang sekali
dikongsi oleh orang lain.
Menurut Kasar, sayangnya pada cicak berputik sejak menuntut di sekolah lagi. Semuanya bermula selepas reptilia itu
jatuh mendarat di atas pahanya. Sejak dari hari itu, Kasar semakin ligat
mengumpul cicak untuk dijadikan sebagai haiwan peliharaan.
Cicak-cicak yang berjaya dijumpainya kemudian disimpan ke dalam sebuah
bekas khas. Setiap kali pulang dari sekolah, perkara pertama yang akan dilakukannya
ialah memberi makan fauna kesayangannya itu. Kemudian, dia melepaskan ‘mereka’
dan menghabiskan masa bermain bersama.
Bagaimanapun, minat pelik ini sangat tidak disenangi oleh rakan-rakannya. Salah
seorang sahabatnya, Ganesh Kumar Ojha, meluahkan rasa kurang selesa terhadap obsesi
Kasar. Katanya, hanya kerana Kasar sukakan cicak, dia sangat takut apabila
bersama dengan sahabatnya itu.
Mana tidaknya, sering kali apabila berjumpa teman baiknya itu, entah bila
masa cicak-cicak tersebut merayap di atas tubuhnya. Sedar-sedar saja, cicak
tersebut sudah pun berada di belakang badan dan poket bajunya.
Lantaran geli dengan cicak, Ojha berkata, dia sudah berulang kali cuba
menasihati rakannya itu agar meninggalkan hobi tersebut. Namun Kasar tetap enggan
untuk berbuat sedemikian. Bahkan, kasihnya pada reptilia berdarah sejuk itu
semakin menjadi-jadi. Masanya juga semakin banyak diluangkan dengan bermain
bersama cicak peliharaannya itu.
Rasa kasih pada binatang seperti yang ditunjukkan oleh Kasar mungkin satu
nilai murni yang harus dicontohi. Tapi menyayangi cicak dengan membiarkan
‘mereka’ masuk ke dalam mulut dan menggigit kulit adalah satu perbuatan yang
harus dihindari.
Ini kerana, kajian zoologi terhadap haiwan tersebut mendapati sebahagiannya
adalah beracun. Bakteria beracun itu dijumpai tersembunyi didalam air liur atau
cecair buangan cicak. Hasil penelitian terhadap racun bawaan cicak itu didapati
ia sangat berbahaya kerana boleh menyebabkan maut.
Justeru, adalah sangat dibimbangi virus tersebut akan mendatangkan bahaya
pada tubuh jika terus-terusan memasukkan
‘mereka’ ke dalam mulut atau membiarkan ‘mereka’ menggigit lapisan kulit. Apatah
lagi, perbuatan seperti itu sangat jelas mengundang pelbagai jenis penyakit
atau kecelakaan pada diri.
No comments:
Post a Comment