Setiap tahun, apabila tibanya musim panas, penduduk-penduduk di perkampungan Galicia, barat daya Sepanyol akan berpusu-pusu memenuhi dataran pergunungan Sabucedo untuk menjalankan pesta tradisional yang dikenali sebagai ‘Rapa Das Bestas’. Festival ini memerlukan mereka untuk menangkap dan menundukkan kuda liar dengan tangan kosong, membersihkan serta memangkas bulu haiwan tersebut sehingga rapi.
Tradisi ini merupakan satu acara keramaian yang dijalankan sekali setahun oleh penduduk-penduduk di Galicia, yang mana mereka akan meraikannya pada hujung minggu pertama bulan Julai. Ia diadakan selama tiga hari berturut-turut iaitu bermula pada hari Jumaat dan akan berakhir pada hari Ahad.
Menjelang bulan Julai, beratus-ratus ekor kuda liar akan dikumpulkan di dataran komuniti Sabucedo yang terletak di dalam wilayah Pontevedra. Haiwan-haiwan ini akan dipilih terlebih dahulu, dan hanya kuda yang telah mencapai usia matang iaitu berusia antara empat hingga lima tahun sahaja akan digunakan bagi menjalankan festival ‘Rapa das Bestas’ ini.
Apa yang menarik tentang ritual tradisional Sabucedo ialah penduduk-penduduk setempat dan para peserta yang terlibat hanya menggunakan tangan kosong untuk menjinakkan, bergomol serta bergusti dengan kuda-kuda liar yang dilepaskan. Berbeza dengan ‘Rapa das Bestas’ di tempat lain yang mana acara ini kebiasaannya memerlukan peserta menggunakan peralatan lain seperti tali dan kain.
Berdasarkan kepada cerita lisan, pesta yang diraikan itu mempunyai sejarah dan legendanya yang tersendiri. Penduduk-penduduk setempat menyatakan, ritual menangkap dan membersihkan kuda liar di kawasan berkenaan merupakan salah satu manifestasi rasa syukur mereka kepada dewa penaung Sabucedo yang dikenali sebagai San Lorenzo.
Dikatakan, pada pertengahan kurun ke-16, kawasan-kawasan kampung yang terletak di wilayah Pontevedra telah dilanda sejenis wabak misteri. Ramai di kalangan penduduk-penduduk awam telah meninggal dunia disebabkan oleh wabak yang tidak dapat dikenal pasti dari mana puncanya.
Bagi mengelakkan lebih banyak kematian berlaku, ketua-ketua kampung telah bersepakat untuk melakukan satu upacara khusus di kaki gunung Sabucedo. Mereka berdoa kepada San Lorenzo supaya wabak tersebut dapat dihindari. Secara spiritual, ternyata usaha tersebut membuahkan hasil dan sebagai balasan, penduduk kampung telah membebaskan sepasang kuda – jantan dan betina – di kaki gunung berkenaan.
Berdasarkan kepada rekod, pesta ‘Rapa das Bestas’ ini pertama kali dijalankan ialah sekitar awal kurun ke-18. Pada ketika itu, mereka merayakan fiesta ini secara sederhana bagi mengenang kembali peristiwa yang berlaku dua abad sebelum itu. Namun, seiring dengan perbezaan zaman, acara ini kemudiannya disambut dengan lebih meriah dan telah menjadi salah satu festival pelancongan untuk Sepanyol. Bahkan, setiap kali tibanya bulan Julai, kampung ini akan dipenuhi dengan ribuan pelancong dari Eropah yang ingin menyaksikan sendiri acara tradisional berkenaan.
Apabila tiba hari yang ditetapkan, beberapa orang penduduk tempatan yang mahir dengan selok-belok hutan di Sabucedo akan ditugaskan untuk menghalau kuda-kuda liar ke kaki gunung yang seluas kira-kira 200 kilometer persegi. Dalam satu-satu acara, dianggarkan lebih daripada 600 ekor kuda akan dikumpulkan dan haiwan-haiwan ini akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan.
Sebelum upacara dimulakan, ketua puak terlebih dahulu akan memanjatkan doa kepada San Lorenzo bagi memastikan acara ini berlangsung dengan sempurna. Ketika semuanya telah bersiap sedia, sekumpulan peserta pertama yang terdiri daripada penduduk kampung akan terlebih dahulu memulakan upacara ini. Mereka dikenali sebagai ‘aloitadores’, yang merupakan peserta-peserta mahir dalam mengendalikan kuda liar.
Sekawanan kuda akan dilepaskan di kawasan lapang dan para peserta dikehendaki menangkap seekor kuda setiap seorang tanpa menggunakan sebarang peralatan. Selama acara ini berlangsung, ‘aloitadores’ akan berlawan dengan kuda-kuda liar, bergusti dan bergomol sehingga haiwan itu menjadi jinak. Kemudian, kuda yang berjaya ditangkap akan dibersihkan, dan bulu-bulu di sekitar leher serta ekor kuda akan dipotong dengan rapi.
Dalam satu-satu masa, acara ini berlangsung dalam tempoh beberapa jam. Nampak macam mudah, tetapi untuk menjinakkan kuda liar merupakan satu pekerjaan yang sangat sukar. Hanya mereka yang berkemahiran tinggi sahaja mampu melakukannya.
Selepas kesemua ‘aloitadores’ berjaya menyelesaikan tugasan mereka, acara ini kemudiannya dibuka kepada peserta amatur dan para pelancong yang ingin menyertainya. Tidak ada peraturan khusus bagi sesiapa yang ingin menyertai tradisi ini. Tetapi dengan satu syarat iaitu hanya mereka yang benar-benar lasak dan mempunyai ketahanan fizikal yang tinggi sahaja dibenarkan untuk menyertai ‘Rapa das Bestas’ kerana ia sangat berisiko. Bagaimanapun, peserta-peserta amatur ini tetap akan dipantau oleh ‘aloitadores’ yang berpengalaman.
Secara tradisinya, acara ini hanya akan dilangsungkan pada siang hari sahaja manakala pada sebelah malam, penduduk kampung akan berpesta dan mengadakan jamuan makan. Pesta keramaian ini turut diselang-selikan dengan persembahan tradisional masyarakat setempat.
Setiap tahun, dianggarkan lebih 200 ekor kuda berjaya dijinakkan dan dibersihkan. Selepas festival ini berakhir, kesemua kuda yang ditangkap akan dilepaskan semula ke pergunungan Sabucedo dan haiwan-haiwan ini bebas berkeliaran sehingga bulan Julai tahun berikutnya.
No comments:
Post a Comment